Wednesday, October 26, 2011

SIKAP DENGAN PEMERINTAH ?

Berkeras dan menentang golongan pemerintah secara berdepan dan terbuka boleh dimasukkan ke dalam kategori khuruj (keluar menentang pemerintah) yang mana ianya dilarang oleh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadith-hadith shahih.

Salah satunya sepertimana disebut didalam riwayat bahawa Said bin Jahman r.a. berkata:

“Aku datang kepada Abdullah bin Abu Aufa, matanya buta, aku mengucapkan salam." Beliau bertanya kepadaku: "Siapa engkau?" "Said bin Jahman, jawabku." Beliau bertanya: "Kenapa dengan ayahmu?" Aku katakan: "Al-Azariqah telah membunuhnya." Beliau berkata: "Semoga Allah melaknat Al-Azriqah, semoga Allah melaknat Al-Azriqah. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengatakan bahawa mereka anjing-anjing neraka."

Aku bertanya: "(Yang dilaknat sebagai anjing-anjing neraka) Al-Azriqah sahaja atau Khawarij semuanya?" "Beliau menjawab: Ya! Khawarij semuanya." Aku katakan: "Tetapi sesungguhnya pemerintah telah berbuat kezaliman kepada rakyatnya?"

Maka beliau mengambil tanganku dan memegang dengan sangat kuat, kemudian berkata: "Celaka engkau wahai Ibnu Jahman! Wajib atasmu berpegang dengan sawadul a'zham, wajib atasmu untuk berpegang dengan sawadul a'zham.

"Jika kau ingin pemerintah mahu mendengar nasihatmu, maka datangilah dan khabarkan apa yang engkau ketahui. Itu kalau dia menerima, kalau tidak, tinggalkan! Sesungguhnya engkau tidak lebih tahu darinya." [Hadith Riwayat Ahmad, shahih]

Bersikap keras dan penentangan secara terbuka terhadap Pemerintah juga tidak akan mendapat sebarang pahala kebaikan sepertimana yang telah dinyatakan Abu Ishaq al-Sabi’i r.h. daripada pembesar ulama Tabiin berkata:

“Tidak ada suatu kaum yang mencerca pemimpin mereka melainkan (mereka) akan terhalang daripada mendapat kebaikannya”. [al-Tamhid, Ibn Abdil Barr, al-Fitan, Abu Amru al-Dani]

Walaupun Islam memang mewajibkan rakyat menegur pemerintah yang zalim walaupun kepada firaun sekalipun, nasihat kepada pemerintah itu hendaklah dilakukan dengan bahasa yang paling baik dan paling lunak serta dalam keadaan yang terhormat serta haram mencela dan mengaibkan pemimpin di hadapan khalayak ramai berdasarkan firman Allah s.w.t: Surah Taha: 43-44:

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.

Bukan sahaja bersikap keras dan menentang pemerintah itu bertentangan dengan firman ALLAH, tetapi ia juga menentang apa yang telah diseru oleh Nabi kita Muhammad s.a.w.

Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang hendak menasihati pemimpin akan sesuatu urusan maka janganlah dia melakukannya terang-terangan tetapi peganglah tangannya dan bersendirianlah dengannya (lalu nasihatlah), jika dia (pemimpin) menerimanya maka demikianlah yang dikehendaki, jika tidak maka dia telah melaksanakan tanggungjawabnya”. [Hadith Riwayat Ahmad, shahih]

No comments:

Post a Comment